BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 15 Februari 2010

~ Melayu ( hak dan perjuangan )

Saya tetap perjuang hak Melayu’


Ibrahim Ali (dua dari kiri) bersama ahli Perkasa ketika membuat bantahan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli parlimen Australia yang cuba mencampuri urusan dalaman negara di Kuala Lumpur, semalam.


PUTRAJAYA 14 Feb. – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali tetap akan memperjuangkan hak orang Melayu walaupun digelar pemimpin bersifat ultra perkauman.

Beliau menyifatkan gelaran tersebut sebagai pendapat peribadi segelintir ahli politik dan pihak tertentu yang tidak menyenangi perjuangannya selama ini.

Beliau menambah, anggapan tersebut tidak mewakili pendapat golongan majoriti.

“Saya tetap dengan pendirian memperjuangkan nasib dan hak istimewa orang Melayu bersama-sama Perkasa.

“Ingin saya tegaskan di sini, Perkasa tetap berdiri sebagai sebuah badan bebas dan bukannya badan politik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa ada pendapat yang mengatakan beliau terlalu bersifat ultra perkauman.

Menurut Ibrahim, beliau sekali-kali tidak akan menjadikan Perkasa sebagai sebuah badan politik walaupun pertubuhan itu sering membicarakan hal-hal berkaitan politik.

Sekiranya ditakdirkan menyertai mana-mana parti politik, katanya, beliau tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Perkasa terutama apabila Perkasa cukup kuat untuk memperjuangkan nasib dan hak orang Melayu.

Jelasnya, beliau tidak begitu menghiraukan pandangan segelintir pihak yang tidak menyukai tindakannya memperjuangkan nasib dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak faham mengapa ada pihak yang menggelarkan saya rasis hanya disebabkan memperjuangkan hak orang Melayu.

“Kenapa pertubuhan lain yang begitu lantang memperjuangkan nasib kaum masing-masing tidak pula digelar rasis,” ujarnya.

Ketika ditanya laporan akhbar berbahasa Inggeris itu, beliau menyifatkan tulisan dan kandungan artikel tersebut adalah seimbang dan tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya.

“Komen yang diberikan secara tersurat dan tersirat itu saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

0 ulasan: